Perompak Yang Berdoa:Apa Peranan Kita?

Desakan hidup telah mendorong segolongan manusia untuk melakukan perkara-perkara yang melampaui batas.Mencuri,melacur diri,menjadi peragut,menagih dadah,mengambil minuman beralkohol yang berlebihan dan sebagainya.Lihat sahaja suasana di Bangkok,ibu kota Negara Thailand.Ramai anak gadis muda memperdagangkan diri mereka dengan dengan meletakkan tag harga pada badan,untuk dipilih oleh para pelancong asing dan ahli perniagaan yang kerap berkunjung ke sana.Meskipun air muka wanita ini diinjak-injak,mereka tetap memilih jalan ini untuk memastikan kelangsungan hidup mereka dan keluarga.



Desakan hidup juga menjadi punca Greg Smith,seorang lelaki yang sudah hampir setahun menganggur melakukan suatu kesilapan besar dalam hidupnya ;iaitu merompak sebuah kedai yang dijaga oleh seorang kerani wanita bernama Angela Montez.Lelaki yang berasal dari Indianapolis USA ini merasakan dirinya telah gagal dalam menjalankan tanggungjawabnya sebagai seorang lelaki,seorang bapa dan juga ketua keluarga.Lantas,tindakan nekad itu diambil tanpa berfikir semasaknya.Dia tidak mahu keluarganya hidup di pinggir jalanan;hidup merempat kerana dirinya tidak mampu membahagiakan mereka.

Namun cubaan merompak yang dirancang tidak berjalan lancar seperti yang disangkakan.Beliau bukan sahaja membatalkan niatnya asalnya untuk mengambil kesemua wang yang berada di dalam 'cash register',beliau juga langsung tidak mencederakan Angela.Malah mereka berdua telah berlutut dan berdoa bersama-sama meminta agar ‘the man upstairs’ (baca:Tuhan) mengampunkan dosa dan kesalahan yang dilakukan oleh perompak muda ini.Semuanya jelas kelihatan di kamera CCTV.

Anda boleh ikuti wawancara Oprah bersama Angela Montez,Greg Smith dan keluarganya menerusi video di bawah:




Link sambungan A Praying Robber (2/3)
Link sambungan A Praying Robber (3/3)

Wawancara ini benar-benar menyentuh perasaan saya.Sedikit sebanyak saya memahami betapa sukarnya untuk dilabel sebagai seorang yang gagal.Betapa lemahnya kita menghadapi sesuatu dugaan jika tidak menerima sokongan yang baik daripada masyarakat khususnya keluarga dan teman-teman.Meskipun Ms Angela adalah seorang yang asing buat Greg,namun peranan yang dimainkannya telah berjaya mengetuk kewarasan akal pemuda itu dan membuatnya berfikir kembali baik buruk tindakan nekadnya itu.

Pengajaran Berguna

Begitu ramai sekali manusia yang dihumban,dilepas dan kemudiannya dimasukkan sekali lagi ke dalam penjara .Mereka bagaikan tidak menyesal dengan dosa yang dilakukan.Apakah punca utama kepada permasalahan ini?Saya pasti ramai yang mampu memberi puluhan jawapan yang berbeza kepada persoalan ‘mudah’ ini.

Di dalam rakaman video wawancara tersebut,saya tertarik dengan kata-kata Ms Angela yang sedang panik dan takut menyoal Greg ketika sebuah pistol diacukan kepadanya.

“Where’s your mother?” tanya Angela.Soalan yang ringkas namun jitu.

Di manakah peranan seorang ibu(dan ayah),tatkala anaknya sedang mengalami masalah dan tekanan?Sibuk di tempat kerja?Dapur?Atau di depan kaca TV?Benar,syurga di bawah telapak kaki seorang ibu.Namun jangan sampai anak ibu ini pula yang menarikmu ke gaung neraka.Takut-takut ada di antara kalian yang tidak bersungguh dalam menggalas tugas sebagai pendidik kepada aset-aset mereka ini.Akhirnya aset-aset ini menjadi liability dalam kehidupan anda di dunia dan di akhirat sana.Mana mungkin kita berpeluang untuk mencium bau syurga sekiranya kita mengabaikan amanah yang diberi Allah SWT.

Amar Makruf,Nahi Mungkar

Di dalam surah Aali Imran,ayat ke 104,Allah SWT berfirman:

"Dan hendaklah ada di antara kamu segolongan umat yang menyeru kepada kebajikan ,menyuruh kepada yang makruf dan mencegah dari yang mungkar;merekalah orang-orang yang beruntung ."


Rasulullah SAW juga pernah bersabda:

"Sesiapa yang melihat satu perkara yang mungkar,hendaklah dia mencegahnya dengan tangannya(kuasa).Sekiranya tidak mampu,hendaklah dengan lidahnya(perkataan/nasihat/hujah),dan sekiranya tidak mampu juga hendaklah dengan hatinya.Yang demikian itu adalah selemah-lemah iman " [HR Muslim].

Merujuk kepada kedua-dua dalil di atas,dapat dirumuskan bahawa tugas amar makruf dan nahi mungkar adalah suatu perkara yang dituntut dalam Islam.Antara langkah yang boleh dilaksanakan dalam operasi mencegah kemungkaran ialah:

1.Memberi peringatan:Ada sahaja kemungkinan bahawa pelaku kemungkaran tersebut tidak tahu bahawa kelakuannya menyalahi tuntutan agama.Jika ia dijelaskan tentang kemungkaran tersebut,mungkin sekali dia akan menjauhinya.

2.Memberi nasihat dan menggambarkan ancaman Allah SWT kepada oranng-orang fasik yang tetap melakukan kemungkaran meskipun ia tahu perbuatannya itu adalah salah disisi syariat Islam.Nasihat yang baik mungkin mampu melembutkan hati-hati yang keras, dan menyedarkan jiwa-jiwa yang berkarat dengan jahiliah.

3.Mengucapkan kata-kata yang keras:Ini dilakukan setelah cara berhemah dan lemah lembut dengan memberi nasihat yang baik tidak berkesan kepada si pelaku kemungkaran.Malah,pelakunya semakin menunjukkan sikap menentang,tidak peduli dan seterusnya mengejek-ejek terhadap petunjuk dan nasihat yang diberikan kepadanya.
Setiap individu baik seorang pelajar,guru,ibu,ayah,abang,adik,kakak,tok imam,ustaz,ketua kampong,pegawai daerah,ahli politik,sultan dan lain-lain;bertanggungjawab untuk memikul amanah ini.Oleh yang demikian,hendaklah kita sentiasa melengkapkan diri dengan ilmu dan menjaga apa yang telah difardhukan ke atas diri,serta meninggalkan segala yang dilarang dalam Islam.

Penutup

Desakan hidup mungkin melemahkan semangat kita untuk terus hidup secara positif di muka bumi ini.Namun,sewajarnya ia menjadi pendorong untuk kita menjadi seorang yang lebih kreatif dan inovatif dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi.Kenali potensi diri dan kembangkannya untuk manfaat bersama.Kaum African misalnya,menggunakan sektor sukan sebagai satu alternatif untuk membantu diri dan keluarga mereka keluar daripada masalah kemiskinan.Saya juga ingin melahirkan rasa kagum terhadap Tuan Haji Mat Ismail bin Jusoh,pengusaha budu cap 'Ketereh' di Tumpat,Kelantan.Daripada menjadi seorang nelayan yang buta huruf,beliau kini layak digelar sebagai seorang usahawan tanahair yang berjaya.Produk yang dihasilkan oleh syarikat beliau mendapat kepercayaan masyarakat dan kini telah berjaya menembusi pasaran luar negara termasuklah negara Perancis (sumber:teman rapat beliau).


antara produk budu (atau sos bilis) cap Ketereh

Oleh itu,sekalipun kita dtekan dan dihimpit dengan pelbagai kerumitan yang menyesakkan fikiran,kita masih punya Allah,Tuhan Yang Maha Mendengar.Tuhan yang mampu mengeluarkan seseorang daripada kegelapan kepada nur cahaya.Tuhan yang mampu menenangkan jiwa yang resah,membantu kita keluar daripada masalah.Mengadulah padaNya.Ingatlah tuntutan dan syariatnya.Sesungguhnya,kejayaan adalah milik orang-orang yang sabar.

Dalam entri ini juga ,sekali lagi saya ingin menekankan bahawa adalah menjadi kewajipan bagi setiap muslim untuk mengajukan dirinya menjadi perintis jalan dalam melaksanakan tugas amar makruf dan nahi mungkar ini.

“Setiap dari kamu adalah pemimpin(penjaga),dan setiap kamu bertanggungjawab ke atas dibawah jagaannya” [HR Al-Bukhari]


Semoga kita diberi pertolongan,kekuatan iman dan hidayah Allah SWT untuk menunaikan amanah dan tanggungjawab ini.


Rujukan tambahan:
Risalah Amar Makruf Nahi Mungkar oleh Abu Anas Madani,Pondok Sungai Durian,terbitan JAHEAIK.

Al-Itsar?


Info Sejarah Madinah

Antara persamaan di antara Madinah dan Malaysia,kedua-dua Negara ini memiliki taburan penduduk yang bersifat majmuk sama ada dari segi agama mahupun bangsa.Masalah perpaduan di kalangan rakyat Madinah memang sangat dititikberatkan oleh Rasulullah SAW.Jika Malaysia mempunyai rakyat berbangsa Melayu,Cina,India,Bajau,Iban dan lain-lain,di Kota Madinah pula terdapat 2 golongan yang sangat berbeza .

Pertama,golongan yang berasal dari sebelah utara iaitu kaum yahudi.Mereka terbahagi kepada 3 suku kaum besar iaitu Bani Quraizhah,Bani Qainuqa’ dan Bani Nadir.Manakala disebelah selatan didiami oleh suku kaum Arab,golongan yang terbesar di kalangan mereka ialah Kabilah Aus dan Khazraj.

Dalam rangka memperkemaskan kedudukan Negara Islam di Madinah,Rasulullah SAW telah membentuk pelbagai strategi termasuklah usaha-usaha meneguhkan perpaduan nasional di kalangan rakyat Madinah.Ini penting kerana perpaduan yang mantap dan kukuh akan melahirkan masyarakat yang harmoni dan bersatu padu.





Sebelum Rasulullah melaksanakan dasar perpaduan nasional ini,pergaduhan dan persengketaan seringkali berlaku di kalangan masyarakat Madinah,terutamanya di antara Kaum Aus dan Khazraj.Persengketaan ini sebenarnya telah berlaku sejak 120 tahun sebelum kelahiran Nabi Muhammad SAW bermula dari Perang Bu’ats.Oleh yang demikian,Rasulullah SAW telah mengambil langkah untuk mempersaudarakan masyarakat Aus dan Khazraj atas nama Islam.Mereka disatukan oleh Rasulullah SAW atas dasar tauhid kepada Allah SWT.

Dalam usaha untuk mengukuhkan lagi ikatan perpaduan di antara rakyat Madinah Rasulullah SAW melaksanakan program ta’akhi,iaitu suatu program mempersaudarakan 2 kelompok besar kaum muslimin,yang terdiri daripada kaum Muhajirin dan kaum Ansar.Antara para sahabat yang terlibat pada awal permulaannya ialah: Jaafar bin Abi Thalib dipersaudarakan dengan Muadz bin Jabal,Hamzah bin Abd Muthalib dipersaudarakan dengan Zaid bin Harithah,dan Umar Al Khattab pula dipersaudarakan dengan ‘Ataban bin Malik.

Al-Itsar

Diantara keindahan yang paling ketara dalam jaringan ukhuwah ini ,ialah wujudnya budaya al-itsar yang menghiasi peribadi umat Islam yang terdahulu.

Al-Itsar bermaksud mengutamakan hak-hak dan kepentingan orang lain lebih daripada diri sendiri.Salah satu contoh yang masyhur ialah Sa’ad bin Rabi’,yang dipersaudarakan dengan Abdul Rahman bin Auf.Sa’ad bin Rabi’ menawarkan kepada saudaranya itu untuk membahagi dua harta kekayaanya serta rumah yang didudukinya.Bahkan dia sanggup menceraikan salah seorang isterinya untuk dinikahi oleh Abdul Rahman.Bagaimanapun ‘Abd Rahman bin Auf menolak tawaran tersebut,sebaliknya beliau memohon agar ditunjukkan kepada beliau lokasi Pasar Madinah,kerana beliau mahu berusaha sendiri dengan berniaga di pasar itu.

Al itsar juga boleh wujud dari segi konteks hubungan suami isteri.Bagaimana seorang isteri melebihkan suaminya daripada dirinya sendiri.Begitu juga halnya dengan si suami ,yang mengutamakan keperluan isterinya daripada dirinya sendiri.Selain itu,ia juga wujud di kalangan ibu bapa terhadap anak-anak dan ahli keluarga mereka.Lihat sahaja cinta dan kasih sayang para ibu terhadap anak-anak mereka.Seorang ibu itu sanggup mengorbankan tidur lenanya di katil dan berjaga lewat malam demi memastikan anakanda kesayangannya aman daripada digigit sang nyamuk.Seorang suami yang mengerti kepenatan isteri dalam menguruskan hal ehwal rumahtangga pula menawarkan dirinya untuk membuat sebahagian housechores,walaupun dirinya merasa keletihan sesudahnya pulang dari pejabat.Banyak lagi contoh lain berkenaan al-itsar yang boleh djadikan teladan dalam kehidupan harian kita.

Seseorang yang memiliki sifat itsar ini mampu mendahulukan kepentingan orang lain lebih daripada dirinya termasuklah dalam hal yang ia cintai.Namun,untuk mendapatkan akhlak ini,ia bukanlah mudah.Proses pembentukannya memerlukan kesabaran dan keikhlasan yang tinggi.Semuanya dilakukan demi mendapatkan redha Sang Ilahi.Ia juga perlu dilakukan dengan penuh sedar,dan bertanggungjawab.

Sudut Berbeza

Pada masa yang sama,saya tertarik dengan sebuah penjelasan ringkas mengenai budaya al-itsar dari sudut pandang yang berbeza sebagaimana yang ditonjolkan oleh Saudara Ruzaini Shahrom baru-baru ini di facebook.


“Al Itsar bil qurbi makruuhun wa fi ghairiha mahbuubun”
Saksikan...




Kes study kita:

"Abang,lepas ni abang tolong sapu dan mop lantai,ipat pakaian dalam bakul,dan mandikan anak-anak kita ye?Bak kata ustaz,kita kena beritsar bang,"kata si isteri.

Aha,macam mana pula tu?Jom kita fikir-fikirkan ia bersama..


Reference:

Dr Azhar bin Yaakub al-Ariri,(2006).Analisis Strategi rasulullah Dalam Pembentukan Negara Madinah.Al-Hidayah Pulishers.

Pengajaran Kem Beliawanis 2009

Terkejut dan terpinga-pinga saya sebentar mendengar lokasi program yang disertai kali ini.Seumur hidup,tidak pernah lagi saya dan keluarga mendengar nama tempat ini,apetah lagi untuk melawatnya.Pastinya tempat tersebut masih baharu dibuka dan berada di kawasan perhutanan yang kurang mendapat liputan masyarakat umum lagi.

Ternyata,telahan kami tepat!

Kem Beliawanis 2009 ini sebenarnya dianjurkan oleh kumpulan Nisa' kawasan Kubang Kerian,Kelantan.Ianya berlangsung selama 3 hari 2 malam dan melibatkan para peserta yang datang dari pelbagai sekolah menengah di bawah Parlimen Kubang Kerian.Malah,ada juga beberapa peserta yang sudahpun bekerja,namun sanggup meluangkan masa untuk hadir ke program semata-mata untuk menyertai program ini.Alhamdulillah,terima kasih saya ucapkan kepada Pengarah Program,Kak Nor kerana sudi mengundang saya menjadi fasilitator untuk program tersebut.

Lokasi



Kem Jeram Mengaji terletak di kawasan Selising,di daerah Pasir Puteh Kelantan.Memandangkan kedudukan lokasi yang terpencil dan jauh terperusuk di dalam hutan belantara,saya mengambil masa lebih kurang 2 jam untuk sampai ke destinasi.Memandu bersendirian di kawasan terpencil (tanpa tomtom) adalah suatu tindakan yang tidak pernah saya lakukan selama ini.Apatah lagi saya baru sahaja mendapat lesen memandu Percubaan (P) selepas sambutan Aidilfitri tahun 2009. Namun, saya amat gembira kerana keputusan yang diambil ini membuatkan saya mendesak diri untuk menjadi lebih berani dan berdikari.Saya yakin keberanian serta keyakinan diri itu hanya teruji apabila kita sanggup keluar daripada 'Comfort Zone' yang didiami selama ini.

Suasana dan Pendekatan Berbeza

Saya diminta untuk menjadi fasilitator Kumpulan 1 bagi menggantikan Kak Raden yang pulang awal.Saya juga diminta untuk memberi sedikit pengisian spontan sempena Kuliah Maghrib,sementara menunggu masuknya azan waktu Isyak.Tanpa sebarang persediaan,permintaan tersebut ditunaikan sebaiknya.Namun saya sedar bahawa terdapat banyak cacat cela di sepanjang perkongsian ringkas itu.Saya terlupa,bahawa saya kini bukan lagi berada di kampus universiti;dikelilingi teman-teman yang berani tampil ke hadapan ,memberi percambahan idea yang bernas serta berkebolehan memahami Bahasa Inggeris dengan baik.Oleh kerana itu,saya seringkali menyelitkan terma-terma dalam Bahasa Inggeris dan Bahasa Melayu standard,daripada menggunakan loghat Kelantan yang lebih dekat di hati para peserta program.

Di hadapan saya pada ketika itu adalah golongan remaja yang bukan berasal dari keluarga senang-lenang.Ramai yang berasal dari kampung dan bersikap malu-malu.Sebagaimana kebanyakan pemuda-pemudi lain di Malaysia,mereka juga mengalami krisis keyakinan diri dan cenderung untuk berdiam diri,daripada bersifat proaktif.

Dihadapan saya juga adalah kumpulan fasilitator dari kalangan muslimat yang manis menutup aurat,bertudung labuh,dan ramai yang memakai purdah..suatu permandangan yang sangat jarang dilihat saya sebenarnya.Sehingga,sesekali saya terfikir,adakah aurat dan cara pemakaian saya masih belum sempurna?Liberalkah aku?(perasaan sedikit tergugah apabila melihat kumpulan fasi yang sangat menyejukkan mata,hehe,chill~)

Maka,ini menjadi suatu cabaran yang baik buat para daie yang menuntut di luar Negara khususnya saya sendiri untuk mencari titik persamaan kami 'despite of our differences and my awkwardness'.Bagaimana kita mahu 'break the ice' di kalangan peserta (dan fasilitator) program yang datang dari latar belakang yang jauh berbeza?Bagaimana pula kita ingin mendekati golongan pakcik makcik atau masyarakat yang lebih tua?Apa yang perlu kita lakukan sekiranya pertanyaan yang diajukan tidak mendapat sambutan?Apakah pendekatan yang dilakukan terhadap golongan ini sama sebagaimana pendekatan kita terhadap pelajar-pelajar universiti di oversea?Banyak lagi perkara yang perlu kita fikirkan sekiranya kita mahu menyampaikan mesej dengan efektif dan berkesan terhadap golongan yang ingin kita dekati.Yang pasti,suasana di universiti luar Negara dan realiti di Malaysia cukup berbeza sama sekali.Dan anda perlu sentiasa bersedia serta sanggup untuk belajar menyesuaikan diri.

Sebahagian pelajar oversea yang memiliki kesedaran dakwah dan ingin bergerak di Malaysia lebih selesa untuk memilih pelajar di sekolah-sekolah dan universiti sebagai golongan sasar.Mungkin jurang umur yang kurang ketara membantu mereka untuk memahami dan berinteraksi dengan mad'u.Ditambah pula jika golongan sasar tersebut belajar di sekolah-sekolah atau kolej persediaan yang pernah dihadiri mereka suatu ketika dahulu.Pasti ada sahaja topik yang boleh dibincangkan bersama.

Hal ini langsung tiada salahnya.Namun,jika kita terlalu selesa berada di dalam kelompok/zon ini,ia mungkin menyekat potensi diri untuk berkembang lebih jauh,tanpa kita sedari.Cuba bayangkan jika anda seorang pemalu atau mungkin lebih gemar menjadi seorang pengikut setia daripada memegang amanah sebagai ketua.Tiba-tiba,suatu hari nama anda dicalonkan sebagai Pengarah Program X.Adakah anda akan menerima atau menolak pencalonan tersebut ?

"Tak naklah.Saya tak pernah lead orang."

dan

"Bagi kat si Y ajelah.Dia dah biasa buat kerja-kerja macam ni."

adalah antara jawapan yang biasa dilontarkan oleh mereka yang mempunyai sikap 'pengikut'.Kadang-kadang kasihan juga kepada sebahagian teman yang sanggup berkorban menggalas beberapa jawatan dalam satu-satu masa,sedangkan di dalam suatu organisasi kita sewajarnya bersikap toleransi selain bersatu menjaga penjuru masing-masing.

Mari kita bertanya kepada diri sendiri,Kenapa hal sebegini terjadi even dalam organisasi dakwah sendiri?



Sebagaimana yang anda lihat di dalam gambar rajah di atas,anda(dan saya) kini berada di 'Comfort Zone' –lingkungan yang sudah menjadi sebahagian daripada hidup kita.Seperti kebanyakan insan yang lain,kita mahu terus untuk berada disitu selamanya.Malah,ada yang sanggup melakukan apa sahaja untuk mengelakkan perasaan 'uncomfortable' muncul di dalam diri.Well,to avoid this feeling is actually a mistake,dan berikut adalah antara sebab musababnya.

Why avoiding the uncomfortable feeling is a mistake?

Realitinya,setiap apa yang kita mahukan dalam hidup ini berada di area 'Possibility Zone',yakni di luar 'Comfort Zone' itu sendiri.Tidak kiralah apa jua impian yang dimahukan sama ada kesihatan yang lebih baik,mencapai personal development/achievement,kewangan yang lebih terurus,atau cinta yang berbalas dan direstui kedua-dua belah pihak keluarga.Semuanya berada di luar sana.Apa yang penting,kita perlu berani untuk mengambil risiko,dan keluar daripada 'Comfort Zone' tersebut.Pada awal permulaanya,mungkin perasaan kekok,gugup,takut,gementar,'sakit jantung' dan segala perasaan lain yang kurang selesa akan muncul melemahkan semangat anda.Namun,sekiranya usaha untuk keluar daripada 'Comfort Zone' ini dilakukan berulang kali,inshaAllah segala perasaan tersebut dapat diatasi.'Daerah Comfort Zone' saya dan juga anda juga akan berkembang.Kemajuan ini seterusnya menjadi pemudah cara bagi kita mencapai sesuatu yang diinginkan di dalam hidup.Tapi harus diingat;semua yang anda mahukan sentiasa berada di luar 'Comfort Zone'.Jadi,proses untuk berpijak keluar dari 'Comfort Zone' ini perlu dilakukan secara kerap dan berterusan.

Penutup

Di suatu sudut,terlihat kelebihan pelajar-pelajar luar Negara yang bijak mendekati pemuda pemudi harapan bangsa yang masih lagi menuntut di sekolah dan universiti.Namun,seringkali mereka mengutamakan institusi pengajian yang sudah establish dan meminggirkan sekolah-sekolah bermasalah,sekolah kampung dan orang asli.Sedangkan di tempat-tempat sebeginilah khidmat dan follow up anda benar-benar di perlukan.Saya tidak pasti,jika ini adalah salah satu daripada 'Comfort Zone' kami.Namun,saya tetap berpendapat bahawa adalah lebih adil dan lebih baik jika kita manfaatkan kebolehan dan anugerah yang dimiliki ini bukan kepada sesetengah golongan yang 'terpilih' sahaja.

Di luar sana,masih ramai lagi pelajar yang belum menguasai 3M (mengira,membaca dan menulis) meskipun kini berada di peringkat sekolah menengah.Kurang ilmu.Kurang didikan agama.Dan kekurangan teman yang boleh memberi inspirasi,semangat dan keyakinan kepada mereka bahawa mereka juga mampu untuk berjaya JIKA mereka berusaha bersungguh-sungguh dan berani untuk bercita-cita.

Anda,adalah antara orang yang diharap dan ditunggu mereka untuk memberi inspirasi dan beraspirasi bersama mereka.

Jadi,beranikanlah diri untuk keluar daripada kebiasaan supaya anda mampu menjadi seorang insan yang luar biasa!

Di Alam Mimpi

Setiap yang hidup pasti mempunyai kemahuan,impian atau cita-cita yang ingin dicapai.Sesuatu impian atau perasaan ‘mahu kepada sesuatu’ ini ditanam semenjak kita masih kecil.Ramai di kalangan teman sekolah menengah saya dahulu mahu menjadi doktor,suatu profession yang cukup popular dikalangan kami.Sebut sahaja “doctor”,ke’glamouran’nya pasti mengalahkan seorang selebriti .

Di dalam sebuah program motivasi dan kerohanian yang dikendalikan saya baru-baru ini pula seorang muslimat tampil memberitahu saya bahawa beliau mahu menjadi seorang pendakwah.Dalam suatu event yang lain,seorang adik kecil memberitahu bahawa dia mahu menjadi seorang perekacipta mesin yang mampu memulihkan keadaan lapisan ozon Bumi yang semakin tipis dari hari ke hari.Selebihnya;ada yang mahu graduate dengan ijazah kelas pertama,melangsungkan perkahwinan sebelum berumur 26 tahun,menjadi seorang pelabur dan hartawan yang berjaya dan sebagainya.

Ya,mereka mempunyai impian.Saya juga turut menyimpan impian yang tersendiri.Kami mahu melakukan sesuatu yang bermakna dalam hidup dan bekerja keras mencapai apa yang kami impikan selama ini.



Namun,tidak dapat tidak,ada yang mengungkapkan kata ‘sukar’,merasakan bahawa perkara yang mereka impikan itu hampir mustahil untuk dilakukan.

Ahh,aku hanya bermimpi,” kata si A.

Ini hanyalah angan-angan kosong,”luah si B pula.


Realiti Mimpi

Hakikatnya kita memang hidup di alam mimpi.Malah,kita dikelilingi dengan mimpi-mimpi selama ini..anda tidak percaya?

Cuba lihat disekeliling anda.Antara barangan yang terdapat disekeliling saya disaat ini ialah pen,buku,meja dan bekas minuman.

Barangan ini dan juga setiap barangan lain asalnya bermula daripada suatu idea.Idea-idea ini dikembangkan dan diperhalusi;seterusnya dilaksanakan sehingga ia berjaya membuahkan hasil yang membanggakan.Dan atas hasil usaha mereka inilah yang memberi anda peluang untuk menikmati pelbagai kemudahan dan keseronokan dalam hidup.Dalam erti kata lain,setiap barang disekeliling kita adalah bukti-bukti insan yang telah bekerja keras dan berjaya menjayakan mimpi-mimpi mereka, yang pernah dikatakan sebagai mustahil oleh orang-orang lain.Sebagai contoh:

Thomas Edison:meskipun dipanggil sebagai seorang yang bebal di sekolah,lelaki ini tidak berhenti bermimpi dan berusaha untuk memajukan dirinya.Akhirnya beliau manjadi manusia pertama yang menciptakan mentol lampu di dunia setelah gagal dalam ribuan percubaan.Namanya dicatat di dalam sejarah dan diingati ramai sehingga kini.

Sultan Muhammad Al Fateh:sebaik-baik pemimpin yang mengepalai sebaik-baik tentera untuk membuka Kota Constantinople yang kini dikenali sebagai Istanbul,di Turki.Hadis Rasulullah SAW yang menyebut bahawa kota kebanggaan Kerajaan Byzantine itu bakal dibuka dan diperintah oleh umat Islam menjadi pemangkin kepada kesungguhan para sahabat dan umat Islam yang terdahului untuk bermimpi,dan bekerja merealisasikan apa yang dipercayai dan diimpikan mereka.

The Biggest Loser:sebuah rancangan realiti di TV yang memaparkan peserta-peserta yang mempunyai berat badan yang berlebihan (overweight) bertanding dengan diri mereka sendiri untuk menjadi lebih kurus dan sihat.Hasilnya cukup mengkagumkan!Lihat sahaja gambar-gambar bekas peserta rancangan ini di bawah.







Faktor Kejayaan

Jika anda benar-benar ingin merealisasikan impian anda,ingin berjaya seperti mereka,anda wajib memiliki 2 kriteria di bawah :

1.Matlamat dan impian yang jelas.
2.’Unshakable’ determination

Dengan dua faktor ini,ia akan membantu anda untuk sanggup melakukan apa sahaja demi mencapai impian tersebut termasuklah merintangi segala permasalahan dan cabaran yang bakal mendatang.

Jika anda mahu menjadi seorang doctor, anda akan belajar dan cuba membentuk diri menjadi seorang doctor dengan melengkapkan diri dengan ilmu perubatan,cuba untuk meningkatkan kesabaran dan keberanian,skil berkomukasi dengan pesakit,skil mengendalikan peralatan pembedahan dan sebagainya.

Jika anda mahu menjadi seorang jutawan,anda akan melakukan perkara dan usaha-usaha serupa yang boleh mendekatkan diri anda dengan cita-cita yang diimpikan.
Namun,perlu diingat bahawa setiap usaha anda perlulah seiring dengan syariat. Janganlah kerana mahu kaya,anda terlibat dengan rasuah.Mahu mendapat first class,tetapi anda menipu di dalam dewan peperiksaan.Berwaspadalah dengan tipu muslihat syaitan.

Penutup

Jutaan manusia telah berjaya membuktikan bahawa mereka mampu untuk berjaya.Di luar sana di saat ini,terdapat ribuan malah jutaan lagi penduduk di muka bumi yang bekerja keras demi mencapai apa yang mereka mahukan.Salah seorang daripada mereka mungkin adalah anda,jika anda berubah,mula bermimpi dan berusaha dari sekarang.

Demi masa,sesungguhnya manusia berada dalam kerugian…

Jangan ditangguh-tangguh lagi.Ayuh kita bermimpi dan berusaha bersama-sama untuk merealisasikan mimpi-mimpi ini…